Jumaat, 21 Ogos 2009

RISALAH RAMADHAN



Ditulis oleh:
AHMAD FAIDZURRAHIM
0199181278
http://khazanah-salafiyyah.blogspot.com/

AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
(aL Asyairah dan al Maturidiah)
Menyambut bulan Ramadhan

Alhamdulillah, Tuhan sekalian alam yang mencipta makhluk-Nya dari tiada kepada wujud, yang tidak memerlukan kepada makhluk-Nya. Dia yang mencipta tempat, wujud-Nya tanpa bertempat. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhammad Sallallahu alaihi Wasallam dan ahli keluarga serta sahabat baginda Solawatullahi alaihim aj maein.
Firman Allah Taala yang berbunyi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maknanya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al Baqarah: 183)
Dan firman-Nya:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ اللّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ () (البقرة : 185 )
Maknanya: Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan maka hendaklah dia berpuasa. Sesiapa yang sakit atau dalam musafir sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari lain. Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran, dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa serta kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur. (al Baqarah:185)

Kelebihan bulan Ramadhan
Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan ibadah yang teramat agung, pahalanya dikhususkan oleh Allah Taala kepada hamba-Nya yang berpuasa seperti mana yang dinyatakan di dalam satu hadis qudsi iaitu: Allah berfirman yang bermaksud :
“ Setiap kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus gandaan kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah kepunyaanKu, maka akanKu gandakan pahalanya ”.
Dan sabda baginda juga:
"إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ: "أَيْنَ الصَّائِمُونَ" فَيَقُومُونَ، لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ"
Maknanya: Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang digelar al Rayyan, hanya orang yang berpuasa sahaja yang akan masuk melaluinya, lalu dikatakan pada mereka: Di manakah orang-orang yang berpuasa?, maka mereka pun bangun, tidak ada orang selain mereka yang akan masuk melaluinya, apabila mereka masuk lalu ditutup pintu tersebut. (Riwayat al Bukhari)
Rasulullah bersabda lagi:
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيلَةٍ من شَهرِ رَمضَانَ صُفِّدتِ الشَّياطين ومَردَةُ الجنِّ وغُلِّقتْ أَبوابُ النِيرانِ فلَمْ يُفتَحْ منها بابٌ وفُتِّحتْ أَبوابُ الجنَّةِ فلَمْ يُغلَقْ منها بابٌ ويُنَادِي مُنَادٍ يا بَاغِيَ الخيرِ أَقبِلْ ويا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقصِرْ. ولله عُتَقَاءُ من النَّارِ وذَلكَ كُلَّ لَيلَةِ ". رواه الترمذي والنسائي وابن ماجه والحاكم .
Maknanya: Apabila di malam pertama pada bulan Ramadhan lalu diikat syaitan-syaitan dan jin, dan ditutup pintu-pintu neraka lalu tidak dibuka, dan dibuka pintu-pintu syurga lalu tidak ditutup, kemudian ada suara yang memanggil: Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah!, wahai orang yang inginkan kejahatan pergilah!, sesungguhnya setiap malam bulan Ramadhan ada orang-orang yang akan dibebaskan dari neraka. (Riwayat Tirmizi Nasaei, Ibn Majah dan al Hakim)
Dan diriwayatkan dari Salman al Farisi bahawa Rasulullah pernah berkhutbah
" يا أيها الناس قد أظلكم شهر عظيم مبارك شهر فيه ليلة خير من ألف شهر، شهر جعل الله صيامه فريضة وقيام ليله تطوعًا وهو شهر الصبر، والصبر ثوابه الجنة، شهر المواساة، من فطر فيه صائما كان مغفرة لذنوبه وعتق رقبته من النار وكان له مثل أجره (أي أجر عظيم) من غير أن ينقص من أجره شىء . قالوا يا رسول الله: ليس كلنا يجد ما يفطر الصائم". فقال عليه الصلاة والسلام: "يعطي الله هذا الثواب من فطر صائما على تمرة أو على شربة ماء أو مذقة لبن وهو شهر أوله رحمة وأوسطه مغفرة وءاخره عتق من النار ومن سقى صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ بعدها حتى يدخل الجنة".
Maknanya: Wahai manusia! sesungguhnya telah datang pada kamu bulan yang mulia dan penuh keberkatan, bulan yang padanya ada malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang dijadikan oleh Allah padanya puasa yang wajib dan ibadah bangun malam yang sunat (sunat Taraweh), ia adalah bulan kesabaran, bulan persaudaraan, sesiapa yang membantu orang lain yang berpuasa untuk berbuka maka diampuni dosa-dosanya, dan diselamatkan dari azab neraka dan mendapat pahala yang besar tanpa ada kekurangan sedikit pun. Lalu sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Di kalangan kami tiada yang mempunyai apa-apa untuk dijadikan apa yang boleh berbuka denganya, Lalu Rasulullah bersabda: Allah akan memberi pahala bagi sesiapa yang memberi apa-apa makanan pada orang yang berpuasa walaupun dengan satu biji buah tamar atau satu minuman atau susu. Ia adalah bulan yang pertamanya adalah kerahmatan, dan pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya pembebasan dari neraka. Barangsiapa yang memberi minum pada orang yang berpuasa untuk berbuka maka Allah akan memberi minum padanya dari kolam ku dan dia tidak akan merasa dahaga sehinggalah dia masuk ke dalam syurga.

Kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan merupakan sesuatu perkara yang diketahui hukumnya oleh orang para ulamak dan orang awam (Ma’lum minaddin Bidhharurah). Barangsiapa mengingkarinya maka dia dihukum kafir iaitu terkeluar dari Agama Islam.
Ketahuilah bahawa ibadah puasa di bulan Ramadhan ini telah difardhukan pada tahun dua Hijrah. Rasulullah telah berpuasa selepas kefardhuan ibadah puasa tersebut selama sembilan tahun sebelum kewafatan baginda Sallallahu alaihi Wasallam.

Syarat-syarat wajib berpuasa :-
1-Islam, ianya tidak sah dari mereka yang kafir atau murtad sama ada murtad disebabkan oleh iktikad yang terpesong seperti menjisimkan Allah, menyamakan Allah dengan makhluk-Nya atau mengatakan Allah duduk dan bersemayam di atas Arash. Akan tetapi orang bukan Islam akan dihisab di akhirat kelak kerana tidak berpuasa dan tidak beriman kepada Allah.
2-Baligh iaitu sampai umur. Begitu juga diwajibkan ke atas kedua ibu bapa atau penjaga menyuruh anaknya berpuasa selepas tujuh tahun umurnya jika anak itu mampu.
3- Berakal, tidak diwajibkan ke atas mereka yang hilang akal atau gila.
4-Berupaya untuk berpuasa, maka tidak diwajibkan ke atas mereka yang benar-benar tidak berupaya untuk berpuasa seperti orang tua yang tidak berupaya atau pesakit yang tidak mampu untuk berpuasa. Begitu juga wanita yang berkeadaan haid atau nifas, akan tetapi wajib ke atas keduanya menqadhakan puasa tersebut.

Rukun-rukun puasa :-
1-Niat, wajib berniat pada setiap malam Ramadhan di antara terbenam matahari hingga terbit fajar.
2-Menahan diri dari :-
- Makan dan minum.
- Jimak.
- Mengeluarkan air mani dengan sengaja seperti beronani.
- Menelan sesuatu kecuali air liurnya yang sedia ada didalam mulutnya.
- Murtad, sama ada di sebabkan dengan iktikad yang sesat seperti mengatakan bahawa Allah berada di atas langit atau duduk di atas arash atau dengan perbuatan yang kufur seperti memijak-mijak al-quran atau sujud terhadap berhala, begitu juga dengan melafazkan kalimah kufur seperti menghina Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan semua yang bersangkutan dengan Islam.

Sunat Puasa:
1-Segerakan berbuka puasa setelah pasti terbenamnya matahari. Manakala sekiranya seseorang itu hanya mendengar azan melalui radio maka jangan terus berbuka. Pastikan telah masuk waktu, sebaiknya tunggulah azan di radio tu selesai. Nabi bersabda:
2-Berbuka puasa dengan kurma
3-Makan sahur
4-Menangguhkan sahur ke akhir waktu tapi jangan sampai ke waktu syak sudah naik fajar
5-Meninggalkan perkataan yang tidak elok, seperti berbohong, mengumpat, memfitnah dan sebagainya daripada perkara-perkara yang haram.
6-Mandi hadas sebelum naik fajar.
7-Memperbanyakkan sedekah dan ibadah seperti membaca Al-Quran, solat sunat tarawih dan witir
8-Beriktikaf di dalam masjid
Makruh Puasa
1-Berbekam kerana boleh melemahkan diri
2-Merasa makanan kerana dikhuatiri akan sampai ke dalam kerongkong
3-Memamah makanan kerana ditakuti tertelan.
4-Membanyakkan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung

PERINGATAN:
1- Bulan Ramadhan tidak boleh dipastikannya permulaannya kecuali dengan dilihat bulan hilal atau disempurnakan bulan Syaaban sehingga 30 hari, berdasarkan sabda Rasulullah:
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِينَ يَوْمًا
Maknanya: Berpuasa apabila kamu melihat anak bulan dan berpukalah apabila kamu melihatnya, dan apabila kabur bagi kamu(tidak kelihatan anak bulan) maka sempurnakan 30 hari (bulan syaaban) .
Maka tidak boleh hanya bergantung dengan kaedah hisab seperti yang banyak dilakukan oleh orang-orang jahil dari kalangan umat Islam, Subhanallah.

2- Ketahuilah bahawa murtad boleh membatalkan puasa maka setiap individu muslim mesti berhati-hati dengannya. Di antara perkara murtad tersebut yang boleh membatalkan puasa ialah beriktikad dan mempercayai bahawa Allah mempunyai tempat dan tempat-Nya di langit atau di arasy, sesiapa yang beriktikad dan mempercayai sedemikian maka dia dikira murtad terkeluar dari Islam.

Sesungguhnya ajaran dan pegangan bahawa Allah berada di atas langit dan seumpamanya adalah dari ajaran golongan sesat al Musyabbihah al Mujassimah. Dewasa ini ajaran tersebut dihidupkan semula serta disebarkannya kepada umat Islam oleh golongan Wahhabiah yang bertopengkan dengan nama Islam, Salafi Tajdid, pembaharuan dan lain-lain yang boleh mengelirukan orang awam, maka berhati-hatilah dengan golongan yang merbahaya ini.
Sekian Wassalamu alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

SELAMAT MENJALANI IBADAH BERPUASA
Kullu Am Wa Antum Bil Khair
Dari:
AHMAD FAIDZURRAHIM
0199181278
http://khazanah-salafiyyah.blogspot.com/