Ahad, 19 Jun 2011

AWAS DENGAN PUSAT PENGAJIAN PENGGANAS DI MALAYSIA. ANTARANYA (MADRASAH ITTIBA' SUNNAH)


SEREMBAN 19 Jun – Selepas pendedahan mengenai sebuah maahad di negara ini yang merekrut belia berasaskan ideologi pemimpin militan Jemaah Islamiah (JI), gerakan yang sama itu juga dikatakan aktif mempengaruhi belia seawal usia 16 tahun di beberapa sekolah agama dan maahad di Negeri Sembilan.

Lebih memeranjatkan, belia yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan lima di sekolah agama di negeri ini turut dihasut membenci dan menumbangkan kerajaan dengan alasan jihad bagi menegakkan negara Islam.

Antara modul yang diajar gerakan haram yang dipercayai beroperasi sejak beberapa tahun lalu adalah kaedah dan persiapan untuk menyertai perhimpunan haram.

Gerakan haram itu dipercayai ‘dibawa masuk’ oleh golongan guru sekolah dan maahad terlibat.

Menurut seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 18, gerakan itu cuba menarik seramai mungkin pelajar menyertai kumpulan usrah.

Katanya, mereka kemudian secara halus menerapkan unsur-unsur jihad bagi menegakkan negara Islam ke dalam pemikiran pelajar.

“Lebih membimbangkan, pelajar-pelajar yang cemerlang turut terpengaruh dengan ideologi gerakan haram itu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mingguan Malaysia dalam laporan eksklusif hari ini menyiarkan kegiatan sebuah maahad yang merekrut belia berasaskan ideologi pemimpin JI di Indonesia, Abu Bakar Bashir yang dikenali sebagai Salafiah Jihadiah.

Pelajar-pelajar yang direkrut di maahad itu dipercayai dihantar menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan Filipina.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di sebuah maahad yang dipercayai menjalankan kegiatan tersebut di Kuala Pilah hari ini mendapati, terdapat beberapa individu berada di kawasan maahad sedang menunggu untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.

Ahmad dalam pada itu mendakwa terpengaruh dengan gerakan tersebut selepas diajak oleh seorang rakan untuk menyertai kumpulan usrah di sekolahnya pada tahun 2009.

Katanya, pada awal pembabitannya dalam kumpulan usrah yang terdiri daripada 10 orang ahli, mereka hanya membincangkan masalah-masalah berkaitan agama sambil dipantau oleh seorang ustaz yang mengajar di sekolah.

“Bagaimanapun, selepas setahun menyertai usrah itu, ustaz terbabit mula membangkitkan soal politik tanah air dan secara halus menghasut supaya menentang kerajaan kerana tidak menegakkan syiar Islam.

“Kami juga diminta berjihad menegakkan negara dan undang-undang Islam malah guru terbabit menggunakan ayat-ayat al-Quran serta hadis untuk mempengaruhi pemikiran kami,” katanya.

Selanjutnya: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan